Berita

(VIDEO) Suami isteri terpelanting lepas motosikal rempuh lori potong mengejut di Perak

Terdapat dua penunggang motosikal yang melalui lorong kanan sebelum salah satunya berlanggar dengan sebuah lori

KUALA LUMPUR 10 Jan – Pasangan suami isteri berdepan detik genting selepas motosikal berkuasa tinggi yang dinaiki terlibat dalam kemalangan dipercayai berlaku di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di kawasan Trolak, Perak, hari ini.

Menerusi video kamera papan pemuka (dashcam) yang dimuat naik di Twitter @jnmalaysia, terdapat dua penunggang motosikal yang melalui lorong kanan sebelum salah satunya berlanggar dengan sebuah lori.

Dalam video sama, lori berkenaan dilihat menukar lorong daripada kiri ke kanan secara mengejut sehingga menyebabkan salah seorang penunggang tercampak ke tepi jalan.

Terkejut dengan situasi itu, pemilik rakaman dashcam berkenaan bertindak memberhentikan keretanya di tepi jalan berhampiran lokasi kejadian.

Pada masa sama, melalui video kedua yang dikongsikan di platform itu, kelihatan seorang pemandu kereta yang membantu membawa motosikal terbabit ke balai polis berdekatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mualim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, mangsa dikenal pasti sebagai pasangan suami isteri yang dalam perjalanan dari Kota Damansara menuju ke Ipoh.

Mohd Hasni berkata, dalam kejadian pada 10.30 pagi di KM 363.8 PLUS dekat Sungkai itu, Mohamad Nor Ekhsan Md Puat, 31, menunggang motosikal kuasa tinggi jenis Yamaha MT cedera di kepala dan patah tangan manakala isteri, Tengku Balkis Tengku Zainal Rasid, 31, luka di muka.

“Tindakan pemandu lori menukar laluan secara tiba-tiba mengakibatkan suami isteri itu cedera parah. Lori yang berada di lorong kiri itu telah mengubah laluan ke kanan dipercayai untuk memotong kenderaan di hadapan.

“Keadaan itu mengakibatkan motosikal ditunggangi suami isteri tersebut tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kanan lori.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Slim River untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pemandu lori berusia 34 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button