Viral

(VIDEO) ‘Terpaling uniform’, tentera pukul isteri sampai acu pisau depan rumah di Melaka

Rakaman berdurasi 32 saat yang tular sejak petang tadi difahamkan berlaku di kuaters sebuah kem tentera dekat Sungai Udang, Melaka

KUALA LUMPUR 29 Dis – Pengguna laman sosial digemparkan dengan sebuah video tular yang memaparkan kejadian dipercayai melibatkan seorang anggota tentera ‘naik tangan’ ke atas isterinya di hadapan sebuah rumah.

Rakaman berdurasi 32 saat yang tular sejak petang tadi difahamkan berlaku di kuaters sebuah kem tentera dekat Sungai Udang, Melaka.

Berdasarkan video tersebut, dapat dilhat seorang lelaki yang memakai uniform Tentera Darat Malaysia (TDM) pada awalnya menyuruh seorang wanita dipercayai isterinya untuk masuk ke dalam sebuah rumah.

Bagaimanapun, wanita terbabit enggan menuruti arahan berkenaan sambil mengulangi dirinya sedang mengalami kesakitan.

Ekoran daripada itu, lelaki berkenaan dilihat naik berang sebelum bertindak memukul wanita berkenaan beberapa kali.

Malah, lelaki tersebut juga didakwa turut menggunakan senjata ketika insiden terbabit.

“Panas hati tengok video askar pukul bini depan jiran. Siap acu pisau,” tulis ciapan di Laman X oleh akaun @MALAYSIAVIRALLL yang berkongsikan video tersebut hari ini.

Di dalam video berkenaan, lelaki tersebut juga didengar memberi ancaman kepada wanita tersebut.

Menerusi klip sama, turut kedengaran satu suara lain dipercayai jiran pasangan tersebut yang bertanyakan mengenai situasi berlaku.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan tarikh sebenar kejadian tersebut.

Di ruangan komen, rata-rata warganet melahirkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan lelaki berkenaan yang dilihat mencemarkan imej pasukan keselamatan berkenaan. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button