Hiburan

(VIDEO) The 1975 disenarai hitam, Festival Good Vibes dibatalkan serta-merta

The 1975 mendapat kecaman selepas membuat aksi menjengkelkan.

KUALA LUMPUR 22 Julai – KEMENTERIAN Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL) telah membuat keputusan untuk menyenaraihitamkan kumpulan muzik British, The 1975 daripada membuat sebarang persembahan di negara ini.

JK-PUSPAL dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu dibuat berikutan tindakan kumpulan berkenaan yang telah menghina, memperlekehkan undang-undang negara dan melanggar tatasusila rakyat Malaysia ketika mengadakan persembahan di Good Vibes Festival di Sepang, semalam.

“KKD sama sekali tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang melakukan provokasi serta melakukan aksi biadap dalam persembahan di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, KKD melalui JK-PUSPAL telah membuat laporan polis terhadap artis berkenaan dan pihak penganjur atas kecuaian serta kegagalan mereka mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan PUSPAL.

“Ketika permohonan dibuat, pihak penganjur telah memberi jaminan akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap persembahan artis berkenaan,” menurut kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, penganjuran Festival Good Vibes 2023 yang masih berbaki sehingga esok dibatalkan serta-merta.

Keputusan itu dinyatakan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.

Fahmi menegaskan, pendirian kerajaan adalah jelas dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mencabar, memperlekeh serta melanggar undang-undang Malaysia.

“Saya faham keputusan ini akan memberi implikasi kepada penonton yang telah membeli tiket. Sehubungan itu, saya juga telah menggesa penganjur untuk mengenal pasti mekanisme ganti rugi kepada pembeli-pembeli tiket.

“Kerajaan sentiasa komited menyokong pembangunan industri kreatif dan kebebasan bersuara.

“Walau bagaimanapun, jangan sesekali menyentuh sensitiviti masyarakat khususnya yang bertentangan dengan adab dan nilai budaya tempatan,” katanya.

Pada masa sama, Fahmi turut memanggil penganjur iaitu Future Sound Asia bagi memberi penjelasan susulan aksi biadab yang dipamerkan oleh artis dari United Kingdom, The 1975 di Sepang, malam tadi.

Media melaporkan persembahan The 1975 di Good Vibes Festival 2023 dihentikan selepas vokalisnya, Matty Healy menunjukkan pelbagai aksi kurang sopan di hadapan peminat.

Beliau didakwa memegang botol arak ketika berada di atas pentas selain membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT). – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button