Viral

(VIDEO) Wanita ‘kembang tekak’ dapat maggi goreng ayam ‘ulat’ di Melaka

Wanita berkenaan tidak menyangka kejadian yang menimpa rakan sekerja mendapat makanan berulat turut menimpa dirinya

KUALA LUMPUR 29 Ogos – Seorang wanita kembang tekak ketika ingin bersarapan apabila disajikan hidangan maggi goreng ayam berulat di sebuah kedai mamak di Melaka, baru-baru ini.

Kejadian itu sempat dirakam pelanggan berkenaan yang tidak berpuas hati dengan tahap kebersihan restoran berkenaan sebelum tular di media sosial.

Difahamkan, kejadian itu berlaku di sebuah restoran mamak di Melaka kira-kira jam 8 pagi ketika wanita berkenaan ingin bersarapan.

 

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Xklusif.my (@xklusif.my)

Berdasarkan rakaman berdurasi satu minit itu, kelihatan beberapa ulat aktif di dalam isi ayam goreng yang dipesan pelanggan berkenaan.

“Baru sahaja makan tiga suap, aku nampak ulat-ulat ini. Apa mamak tu buat? Dia hanya masak baharu, dia ingat aku ada selera nak makan?

“Ini bukan kali pertama aku kena, dah beberapa kali budak pejabat aku kena. Mamak ni sempoi sampai sekarang jual makanan, orang ramai makan dekat kedai ni,” katanya menerusi video tersebut.

Ingin menjadi individu yang prihatin dan bertanggungjawab, pelanggan berkenaan cuba membuat aduan di Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM), namun cabaran lain pula yang menanti.

Pelanggan berkenaan gagal menghubungi jabatan yang sepatutnya apabila dimaklumkan talian sambungan ke Unit Pemakanan telah lama rosak.

Katanya, dia diberitahu akan dihubungi semula oleh pegawai bertugas namun ia hanya sekadar janji manis apabila masih belum menerima maklum balas daripada mana-mana pihak berhubung laporan tersebut.

“Aku tak tahu kenapa JKNM tak mahu tolong aku dan menitikberatkan perkara begini,” luahnya.

Sementara itu, memetik laporan media tempatan, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Melaka, Ngwe Hee Sem dilaporkan berkata, pihaknya telah pun meminta JKNM untuk menyiasat dakwaan tersebut yang dianggap serius dan melanggar Akta Peraturan-Peraturan Kesihatan Malaysia (PPKM) 2009.

“Saya telah meminta JKNM untuk ambil tindakan segera berhubung kejadian tersebut dan sebarang maklum balas akan dikongsikan kemudian,” katanya. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button