Viral guru besar tinggal dalam stor, KPM lulus peruntukan RM12.5 juta
Peruntukan itu diberikan untuk Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan, Telupid, Sabah.

KUALA LUMPUR 20 Nov. – Sehari selepas laporan guru besarnya tinggal dalam stor selama tiga tahun disiarkan, Kementerian Pendidikan berkata kos penambahbaikan kemudahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan, Telupid, Sabah, diluluskan sebanyak RM12.5 juta.
KPM memaklumkan kerja pembinaan melibatkan blok akademik dan pentadbiran serta kemudahan lain termasuk pembelian perabot sedang rancak berjalan.
Selain itu, KPM berkata pembinaan empat unit kuarters baharu di SK Ulu Ansuan juga diluluskan semasa pembentangan Belanjawan 2024.
“Semua projek penambahbaikan dan kemudahan di SK Ulu Ansuan melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM12.5 juta.
“Bagi penyelesaian jangka pendek kediaman guru di sekolah itu pula, KPM telah siap melaksanakan projek selenggara kuarters dengan peruntukan RM200,000,” katanya dalam kenyataan
Dalam pada itu, KPM terus bertekad menambah baik kemudahan di semua sekolah di seluruh negara yang memerlukan perhatian bagi memastikan kesejahteraan, keselamatan dan kebajikan guru, murid serta seluruh warga sekolah terpelihara.
Semalam, media melaporkan Guru Besar SK Ulu Ansuan, George Odol, yang akan bersara wajib pada 27 Nov ini tinggal dalam sebuah stor sekolah selama lebih tiga tahun untuk meneruskan perjuangannya mendidik anak bangsa. — Xklusif