Wan Saiful cabar Guan Eng saman BN
BN pernah mengeluarkan buku kempen pilihan raya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu, antara lain mengandungi perincian maklumat terbabit

KUALA LUMPUR 17 Nov – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, mencabar DAP khususnya pengerusinya, Lim Guan Eng, mengambil tindakan kepada Barisan Nasional (BN) yang dikatakan lebih awal mendakwa beliau mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.
Wan Saiful mendakwa, BN pernah mengeluarkan buku kempen pilihan raya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu, antara lain mengandungi perincian maklumat terbabit.
Katanya, pemimpin Perikatan Nasional (PN) merujuk maklumat dan perincian bercetak dalam buku didakwa diterbitkan BN itu, bagi isu membabitkan Guan Eng ketika ini.
“Ini bukan isu ditimbulkan PN semata-mata dan asal usulnya adalah di sini (buku bahan kempen BN). Sekiranya ada apa-apa tindakan mahu diambil, saya gesa ambil juga tindakan undang-undang kepada mereka yang mencetak dan mengedar buku ini.
“Saya tunggu Guan Eng ambil tindakan undang-undang terhadap BN, sebab buku ini atas nama BN. Bila tindakan undang-undang akan diambil kepada BN, sekiranya benar DAP nak bersihkan namanya,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Wan Saiful turut menunjukkan beberapa naskhah buku kempen yang didakwa milik BN itu.
Beliau berkata, Guan Eng tidak seharusnya mengambil tindakan undang-undang terpilih hanya kepada lawan jika ada dakwaan sama pernah dibuat sekutu mereka.
Menerusi rakaman video berdurasi 46 minit 51 saat, Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad, pada majlis ceramah politik di Kemaman, Terengganu baru-baru ini, didakwa mengaitkan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang juga bapa Guan Eng sebagai sepupu Chin Peng.
Susulan itu, Guan Eng memaklumkan sudah memulakan tindakan undang-undang terhadap Siti Mastura selepas tempoh 48 jam yang diberikan kepada pemimpin PAS itu membuktikan dakwaannya tamat sehari sebelumnya.
Siti Mastura didakwa menimbulkan ketakutan terhadap DAP dan orang Cina, sekali gus membabitkan unsur perkauman dan ekstremis.
Kelmarin, Siti Mastura menyerahkan bahan rujukan dalam ucapannya yang mengaitkan Guan Eng itu kepada polis, ketika hadir memberi keterangan di Bukit Aman. – Xklusif