Wanita, 3 budak cedera berlanggar dengan kereta kebal ATM di Kota Tinggi
Wanita dan 3 kanak-kanak itu bagaimanapun tidak tersepit

JOHOR BAHRU 10 Ogos – Seorang wanita dan tiga kanak-kanak lelaki cedera selepas kenderaan dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah kereta kebal milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di jalan menghala Taman Damai sebelum Punggai, di Kota Tinggi semalam.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai Pegawai Bomba Deddy Borhan Umaali berkata seramai 15 anggota termasuk dari BBP Sungai Rengit dikejarkan ke lokasi kejadian selepas panggilan kecemasan diterima pada 8.28 malam.
Beliau berkata menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Honda Odyssey.

Kereta kebal milik ATM yang dalam perjalanan balik ke kem Teluk Sepang dipercayai telah berlanggar dengan kenderaan MPV itu, katanya.
“Bagaimanapun, wanita dan tiga kanak-kanak terbabit tidak tersepit di dalam kenderaan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata pihaknya bertindak memberikan rawatan awal kepada kesemua mangsa yang mengalami kecederaan sebelum dihantar ke Hospital Kota Tinggi.
Beliau bagaimanapun menjelaskan dua anggota yang berada di dalam kereta kebal itu selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. – BERNAMA