Wanita dipenjara 3 tahun, simbah anak air panas sebab tonton video lucah
Wanita itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas anak lelakinya yang ketika kejadian berusia 13 tahun dengan cara menyimbah air panas ke arah mangsa
MELAKA 31 Jan – Seorang wanita lima anak dijatuhi hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan menyimbah air panas terhadap anaknya berusia 13 tahun kerana berang mangsa menghabiskan data telefon bimbit miliknya dengan menonton video lucah, dua tahun lalu.
Hakim Mohd Sabri Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 38 yang menukar pengakuan kepada bersalah terhadap pertuduhan hari ini, selain menimbangkan fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan.
Ketika didakwa kali pertama pada 26 September 2023, tertuduh meminta dibicarakan terhadap pertuduhan.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas anak lelakinya yang ketika kejadian berusia 13 tahun dengan cara menyimbah air panas ke arah mangsa.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 2.56 pagi di sebuah rumah di taman perumahan kakitangan kerajaan di Sungai Udang pada 27 Jun 2022.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntuk hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.
Mengikut fakta kes, perbuatan tertuduh terbongkar selepas rakan mangsa menyedari pakaian sekolah dipakai mangsa mempunyai kotoran kesan luka dan melaporkan kejadian kepada ibunya selaku pengadu dalam kes pendakwaan.
Mangsa turut mengaku didera dan disimbah air panas oleh ibu kandungnya selepas ditanya pengadu dan laporan perubatan mengesahkan dia mengalami empat peratus melecur di beberapa bahagian badan.
Terdahulu, tertuduh tidak diwakili peguam menangis teresak-esak ketika merayu hukuman ringan atas alasan dia sudah menyesal atas perbuatannya dan berjanji tidak mengulanginya.
Katanya, dia mempunyai tiga anak kecil berusia enam dan empat tahun serta enam bulan.
“Anak berusia enam tahun itu ialah kanak-kanak autisme dan sangat rapat dengan saya. Jika nak makan, memang saya suapkan. Malah, suami beritahu sejak saya ditahan di penjara, anak saya tidak mahu makan dan badannya semakin susut.
“Saya juga seorang pesakit psikatrik dan mengalami tekanan perasaan yang teruk serta mengambil ubat dan menjalani rawatan di luar setiap bulan. Kini, dos ubat yang saya ambil bertambah dari 50 miligram(mg) kepada 100 mg.
“Saya sangat menyesal atas apa yang saya lakukan dan merayu yang arif memberikan hukuman seringan-ringannya,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.
Selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman tiga tahun daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu 8 Julai 2023. – Berita Harian