Jenayah

Wanita ditemukan mati dengan kesan kelar di leher, ditetak seluruh badan dalam ladang sawit

Mayat wanita warga Filipina berusia 43 tahun itu ditemukan ahli keluarganya sebelum melaporkan kejadian itu kepada pihak polis kira-kira jam 11 pagi

BEAUFORT 26 Dis – Mayat seorang wanita dengan kesan kelar di leher dan tetakan pada beberapa bahagian badan, ditemui dalam kawasan belukar ladang sawit Kampung Ulu Bambangan dekat Membakut, di sini, semalam.

Mayat wanita warga Filipina berusia 43 tahun itu ditemukan ahli keluarganya sebelum melaporkan kejadian itu kepada pihak polis kira-kira jam 11 pagi.

Ketua Polis Daerah Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Ismail Abdullah, berkata siasatan awal mendapati mangsa dipercayai hilang ketika keluar ladang sawit tempatnya bekerja.

Beliau berkata, suami mangsa kemudian mencari isterinya sebelum menemui sehelai seluar warna hitam milik mangsa di tempat kerja suami mangsa di kebun sawit yang sama.

“Ahli keluarga seterusnya berusaha mencari mangsa di sekitar penemuan seluar itu sebelum menemui mayat mangsa dalam belukar berhampiran.

“Ketika ditemui, ada kesan kecederaan tetakan di beberapa bahagian badan mangsa,” katanya.

Ismail berkata, pemeriksaan dan siasatan oleh Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah mendapati tapak tangan sebelah kanan mangsa hampir putus.

“Selain itu, kesan luka bahagian dahi sebelah kanan dan kesan kelar di bahagian leher yang dipercayai kesan kecederaan akibat ditetak dengan senjata tajam.

“Susulan kejadian itu, polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita warga Filipina berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun yang kini direman bagi membantu siasatan,” katanya.

Ismail berkata, usaha mengesan suspek lain masih giat dijalankan dengan bantuan Unit Siasatan Khas (D9), Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Forensik IPK Sabah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.- Berita Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button