Wanita Kemboja minta maaf, tuju kepada TMJ
Wanita itu sebelum ini tular kerana mendakwa orang Melayu malas.

KUALA LUMPUR 21 Nov. – Wanita asal Kemboja yang mencetuskan kontroversi selepas rakaman video mengandungi kenyataannya mendakwa Melayu malas tular di media sosial, memuat nuat rakaman video permohonan maaf, dipercayai ditujukan kepada Tunku Makhota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibrahim.
Dalam video berdurasi satu minit dua saat itu, wanita berkenaan yang memaklumkan nama dan syarikat diusahakannya, menjelaskan yang dia sedih, dipercayai kerana menjadi mangsa kecaman warganet, selain mengucapkan terima kasih kepada TMJ kerana dapat bermastautin dan berniaga di Johor.
“Ampun Tuanku, beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun. Patik bangga menjadi rakyat negeri Johor, patik terlalu sedih, terima kasih Tuanku. Patik bangga menjadi rakyat negeri Johor, dapat berniaga di negeri Johor. Patik nak bantu lebih ramai lagi orang Tuanku, terima kasih sangat-sangat,” katanya.
Semalam, salah seorang pengikut Tunku Ismail dalam platform X, memohon baginda mengambil tindakan ke atas wanita terbabit yang dirujuk dengan panggilan ‘Makcik Kemboja’.
Dalam ciapan balas, Tunku Ismail merujuk kenyataan terdahulu dikeluarkan beberapa pemimpin Melayu sebelum ini, antaranya kenyataan seperti ‘Zaman Ketuanan Melayu telah berakhir’ dan ‘Melayu malas’, tetapi tiada pihak meminta baginda mengambil tindakan.
Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video berdurasi satu minit tujuh saat menunjukkan seorang wanita yang mengakui asal Kemboja, tetapi sudah lama bermastautin di negara ini sedang mengadakan penstriman langsung di sebuah gedung pakaian Muslimah.
Dia mendakwa orang Kemboja sememangnya pandai dan rajin berniaga berbanding orang Melayu yang malas, namun pada akhir rakaman video berkenaan, menyatakan dia hanya bergurau dan memohon maaf, disusuli permohonan maaf yang diulang pada hantaran berasingan. — BH