Wanita kena ‘scam’ beli kucing RM9,200 melalui WhatsApp
Terjerat dengan penipuan sindiket e-dagang melibatkan urusan pembelian kucing baka bulu pendek, British Shorthair menerusi aplikasi Whatsapp, seorang wanita tempatan terpaksa menanggung kerugian berjumlah RM9,200.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata pihaknya menerima laporan polis dari mangsa berusia lingkungan 40-an yang merupakan pekerja sebuah syarikat swasta pada Khamis.
“Mangsa membuat urusan pembelian haiwan peliharaan iaitu kucing baka bulu pendek British secara dalam talian daripada suspek di aplikasi sembang sosial WhatsApp.
“Mangsa kemudiannya diarahkan untuk membuat beberapa kali transaksi pindahan wang secara dalam talian kepada suspek sebagai bayaran bagi mendapatkan haiwan peliharaan tersebut.
“Mangsa yang terpedaya telah membuat lima kali transaksi ke akaun bank pihak ketiga selepas diberikan oleh suspek sehingga berjumlah RM9,200,” katanya dalam satu kenyataan media.
Bagaimanapun, Alexson berkata, sehingga laporan polis dibuat, haiwan peliharaan yang dijanjikan masih juga tidak diterima dan suspek masih meminta bayaran dengan pelbagai alasan.
Sehubungan itu, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan dengan sebat juga denda jika disabit kesalahan.
Sementara itu, Alexson menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan pembelian dalam talian khasnya dari laman sosial dengan harga lebih murah daripada pasaran.
“Mangsa akan disuruh membuat bayaran dengan segera atas sebab kekurangan stok dan juga permintaan yang banyak, akhirnya barang tersebut tidak diterima dan gagal dihubungi balik,” ujarnya.
Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 jika merupakan mangsa penipuan siber seperti pinjaman tidak wujud, love scam, e-dagang, phone scam dan sebagainya, sekiranya baharu sahaja membuat transaksi pindahan wang ke mana-mana akaun bank atau e-dompet suspek.
Orang ramai juga dinasihatkan untuk memuat turun aplikasi Whoscall melalui Google Play Store atau Apple Store untuk membantu membuat keputusan sama ada mahu menjawab panggilan telefon yang diterima atau sebaliknya.
Semakan nombor telefon dan akaun bank suspek boleh dibuat sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan menerusi Check Scammer CCID atau melalui laman web http://semakmule.rmp.gov.my.
Maklumat terkini mengenai modus operandi jenayah penipuan boleh diperolehi di akaun media sosial rasmi Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police dan JSJK Sarawak.