Berita

Wanita lumpuh rentung, empat cedera dalam kebakaran 12 rumah di KK

Kebakaran itu menyebabkan 12 rumah yang dihuni 14 keluarga musnah sepenuhnya

KOTA KINABALU 22 Dis – Seorang wanita lumpuh rentung manakala empat cedera termasuk ibu mengandung dalam kebakaran membabitkan 12 rumah di Kalansanan, Inanam, di sini, malam tadi.

Idam Hamid berusia lingkungan 50 tahun ditemui rentung oleh pasukan bomba dan penyelamat sebaik kebakaran dapat dikawal dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu.

Ketua Zon Kota Kinabalu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penguasa Kanan Bomba Misran Bisara berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.10 malam.

Katanya, seramai 31 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas serta Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, didapati api sedang marak dan pasukan bomba segera melakukan pemadaman.

“Api berjaya dikawal jam 1.16 pagi dan menemui seorang mangsa dalam keadaan rentung,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Misran berkata tiga mangsa termasuk seorang wanita berusia 16 hingga 20 tahun melecur manakala seorang wanita mengandung berusia 23 tahun pengsan.

“Semua mangsa terbabit kemudian dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Kebakaran itu menyebabkan 12 rumah yang dihuni 14 keluarga musnah sepenuhnya,” katanya.

Misran berkata siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta jumlah kerugian ditanggung mangsa.

Sementara itu, Pengarah Penguat kuasa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Abdul Mukti Muchlish berkata semua mangsa akan ditempatkan di Dewan Serbaguna Likas. – Berita Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button