Berita

(VIDEO) Wanita maut, 5 terselamat kereta tertusuk besi penghadang jalan di Miri

Wanita itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh polis

MIRI 21 Ogos – Seorang wanita maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan di Jalan Pan Borneo berhampiran kilang Alam Bumi di sini, semalam.

Video keadaan kereta yang terbabit dalam kemalangan ngeri itu turut tular di media sosial apabila jelas kelihatan besi penghadang jalan berkenaan tertusuk hingga ke bahagian belakang kereta.

Lebih pilu apabila turut kedengaran suara tangisan seorang wanita dipercayai saudara mangsa menangis di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah, Rary Binjie mengesahkan mangsa yang maut di lokasi kejadian dikenali Diana Tinsie Douglas berusia 20 tahun.

“Lima lagi mangsa termasuk tiga kanak-kanak turut mengalami kecederaan dan dikeluarkan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian dan dihantar ke klinik kesihatan berdekatan bagi diberikan rawatan lanjut.

“Sepasukan anggota dari BBP Batu Niah bergegas ke lokasi kemalangan selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.36 petang.

“Pasukan bomba membantu mengeluarkan mangsa yang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut berada di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan semalam. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button