Wanita maut dalam tanah runtuh di Kota Kinabalu

Seorang wanita maut dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Lok Bonu, Jalan Sepanggar, di sini, awal pagi tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 4.32 pagi dan menghantar 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan penyelamat mendapati berlaku tanah runtuh yang telah menimbus sebuah rumah.
“Terdapat dua mangsa dalam kejadian itu. Seorang wanita yang tertimbus berjaya dikeluarkan dari runtuhan oleh pasukan penyelamat dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.
“Anaknya selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” menurut kenyataan jabatan itu.
Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, dan operasi tamat pada jam 7 pagi.