
KUALA LUMPUR 31 Okt. – Seorang wanita maut selepas kereta yang dipandu dihempap sebatang pokok di Jalan Ulu Yam – Gombak, petang tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Wan Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada 6.14 petang.
Beliau berkata, sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu telah dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Bomba tiba 25 minit kemudian dan mendapati sebatang pokok telah menghempap sebuah Perodua Alza yang dipandu seorang wanita berusia 40-an,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, kerja-kerja memotong pokok telah dilakukan dan mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan pada pukul 7.10 malam.
Katanya, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan. — Xklusif