Wanita maut, kereta putus 2 nahas di Baling
Farah Nabihan Mohamad meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dalam nahas kira-kira 5 petang tadi

BALING 18 Okt – Seorang wanita maut, manakala keretanya terputus dua dalam kemalangan di Jalan Kampung Bukit Pak Kuning, Kuala Ketil, Baling.
Farah Nabihan Mohamad, 37, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dalam nahas kira-kira 5 petang tadi.
Ketua Polis Baling, Shamsudin Mamat, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Iswara Aeroback dipandu mangsa hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh pacuan empat roda.
“Kerana jarak terlalu dekat, pemandu pacuan empat roda berusia 57 tahun dari arah Kuala Ketil menghala Parit Panjang gagal mengelak dan melanggar hadapan kiri kereta mangsa.
“Pelanggaran itu menyebabkan kereta mangsa terputus dua dan mangsa tercampak ke kiri jalan,” katanya.
Beliau berkata pemandu serta penumpang 54 tahun dalam pacuan empat roda itu cedera ringan.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Xklusif