Berita

Wanita OKU maut dibunuh, dipukul guna kayu, seterika berulang kali

Tujuh individu termasuk tiga wanita ditahan kerana disyaki terlibat kes bunuh OKU.

KUALA LUMPUR 22 Jan. – Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) bukan sahaja dipukul dengan kayu panjang, tetapi juga diseterika berulang kali sebelum dilaporkan maut.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, mangsa berusia 20 tahun merupakan OKU (intelektual) itu dipukul suspek dengan menggunakan kayu panjang dan seterika secara berulang-ulang sehingga mengalami kecederaan pada tubuh badannya.

“Kita menerima panggilan daripada seorang wanita yang memaklumkan adiknya telah meninggal dunia.

“Motif kejadian mangsa disyaki telah memarahi dan mencubit dua anak salah seorang suspek berusia dua dan tiga tahun.

“Mangsa tinggal di rumah berkenaan kerana ibunya mengupah salah seorang suspek untuk menjaga wanita OKU itu sejak dia berusia 17 tahun dengan bayaran RM200 sebulan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Susulan itu, polis menahan tujuh individu termasuk tiga wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes bunuh wanita orang kurang upaya (OKU) di sebuah rumah di Seri Kembangan, di sini, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya menahan kesemua suspek berusia 25 hingga 79 tahun yang berasal dari Lembah Klang, pada jam 4 petang.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Idris Shah, di sini, untuk bedah siasat.

“Kita masih belum menerima keputusan sebenar punca kematian mangsa,” katanya.

Beliau berkata, empat suspek termasuk dua wanita telah direman selama tujuh hari bermula Isnin hingga Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Manakala tiga lagi individu telah diberi jaminan polis. Orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kes itu boleh tampil memberi maklumat atau menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintenden Rosnani di talian 018-2771866,” katanya. — Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button