Berita

Wanita pecut Mazda cemas langgar mati penunggang basikal di Melaka

Bagaimanapun tiada rakaman televisyen litar tertutup di tempat kejadian

MELAKA 28 Dis – Seorang wanita memandu keretanya sejauh 500 meter sebelum berhenti selepas melanggar mati penunggang basikal di Jalan Klebang Besar, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 pagi itu, mangsa, Foo Seck Sim, 44, maut di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian pemandu berusia 34 tahun itu dalam perjalanan dari Jonker Walk pulang ke rumahnya di Duyong, manakala mangsa menghala ke arah Klebang.

“Ketika sampai di lokasi, wanita itu yang memandu kereta jenis Mazda 3 telah terlanggar si mati dari arah belakang atas faktor keadaan jalan gelap.

“Akibat kemalangan itu si mati telah tercampak dan terjatuh di atas jalan raya. Wanita tersebut yang cemas meneruskan pemanduan kira-kira 500 meter ke hadapan sebelum berhenti,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambahnya, hasil siasatan pegawai penyiasat di lokasi mendapati kemalangan berlaku di laluan satu lorong dua hala dan keadaan jalan rata serta kering.

“Bagaimanapun tiada rakaman televisyen litar tertutup di tempat kejadian.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat dan kita sedang berusaha mengesan waris si mati,” ujarnya.

Christopher berkata, siasatan kes masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE 

Artikel Berkaitan

Back to top button