Berita

Wanita selamba naik teksi edar heroin di Kalumpang

Wanita berusia 36 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor dan Balai Polis Kerling

HULU SELANGOR 23 Jan – Seorang wanita yang disyaki pengedar dadah ditahan bersama 16.20 gram heroin ketika menaiki teksi di tepi jalan kawasan Taman Tempua Bistari, Kalumpang, di sini, kelmarin.

Penganggur berusia 36 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor dan Balai Polis Kerling, pada 5 petang.

Difahamkan, suspek menjalankan kegiatan itu selama tiga bulan dan menjadikan dua kawasan iaitu Simpang Empat, Tanjung Malim, Perak dan Hulu Bernam sebagai lokasi pengedaran.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, ketika ditahan, polis menemukan tujuh paket plastik lut sinar heroin di dalam beg sandang digalas suspek.

“Wanita ini disyaki menaiki teksi untuk mengedar dadah di kawasan Hulu Bernam. Bagaimanapun, semakan mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

“Nilai dadah yang dirampas berjumlah RM300. Ia mampu menampung permintaan seramai 100 penagih jika dibungkus semula,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ahmad Faizal berkata, dadah itu dipercayai akan dijual kepada penagih tempatan di Hulu Bernam.

Menurutnya, suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 28 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

Back to top button