Berita

Wanita warga emas maut lepas celup jari

Wanita warga emas itu maut selepas mencelup dakwat jari.

Tampin 12 Ogos – Seorang warga emas wanita tidak sempat mengundi apabila tiba-tiba rebah selepas mencelup dakwat jari di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Rokan, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, mangsa berusia 83 tahun disahkan meninggal dunia pukul 11 pagi selepas menerima maklumat dari Pembantu Kesihatan di Klinik Kesihatan Gemencheh.

Menurutnya,  si mati telah hadir ke sekolah berkenaan untuk mengundi bersama-sama ahli keluarga yang lain dan berjalan kaki menuju ke Saluran 1.

“Selepas mencelup jari dalam dakwat di Saluran 1, si mati tiba-tiba telah rebah dan tidak sedarkan diri lalu dibawa oleh ahli keluarga ke Klinik Kesihatan Gemencheh.

“Si mati bagaimanapun telah sedarkan diri namun paras oksigennya semakin menurun sebelum bantuan CPR diberikan namun gagal diselamatkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, si mati tidak sempat mengundi dan sebelum kejadian, warga emas itu sempat mengadu kepada keluarganya mengalami sakit kaki sejak balik dari mengerjakan ibadah umrah.

“Semakan mendapati si mati mempunyai rekod perubatan sakit darah tinggi.

Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button