Berita

Warga asing kantoi sorok minyak masak, gula subsidi bawah katil, enggan jual pada penduduk

Kegiatan itu terbongkar menerusi siasatan dan operasi dilakukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, semalam

MELAKA 8 Dis – Dua premis kedai runcit yang dikendalikan warga asing didapati bukan hanya menyorokan minyak masak dan gula peket, malah enggan menjualnya kepada penduduk setempat yang sepatutnya menikmati barang kawalan bersubsidi itu.

Kegiatan itu terbongkar menerusi siasatan dan operasi dilakukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, semalam.

Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar berkata, operasi dilakukan hasil maklumat awam mengenai premis terbabit yang berkemungkinan beroperasi tanpa permit dan lesen sah untuk menjual barang kawalan termasuk minyak masak, gula dan tepung.

Katanya, bertindak atas maklumat pihaknya membuat penyamaran bertujuan uji beli terhadap barang kawalan yang disorokkan serta keengganan peniaga berkenaan menjual barang bersubsidi itu terhadap penduduk setempat.

“Anggota kita bertanya sama ada premis menjual minyak masak dan gula bersubsidi, namun jawapan diberikan amat meragukan.

“Berikutan itu pasukan operasi masuk ke premis pertama dan hasil pemeriksaan menyeluruh di stor simpanan serta bilik tidur pekerja berkenaan menemui barang kawalan disorokkan di bawah katil, bawah kaunter juruwang dan di belakang rak barangan yang disusun.

“Modus operandi sama digunakan di sebuah lagi premis berdekatan yang mana peniaga berkenaan menyatakan tiada stok minyak bersubsidi, namun hasil serbuan terhadap stor bersebelahan mendapati barang kawalan berkenaan disorokkan di premis yang tidak dilesenkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Norena, berdasarkan semakan buku log mendapati kedua-dua premis terbabit membekalkan barang kawalan itu kepada peniaga restoran berhampiran dengan harga melebihi pasaran.

“Contohnya, jika minyak subsidi berharga RM2.50 sepeket, mereka jual RM3.50 sepeket.

“Selain itu kami juga mendapati peniaga terbabit juga menjual barangan ini kepada warga asing dan bukan penduduk setempat yang mana ini adalah satu kesalahan,” katanya sambil memaklumkan kedua-dua pemilik premis itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB 1961). – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button