Berita

Warga emas maut ketika ke masjid, telekung isteri tersangkut di tayar motosikal

Kemalangan membabitkan motosikal di Jalan Juasseh Terusan Seberang berdekatan Masjid Kariah Juasseh Seberang kira-kira jam 7 malam tadi

KUALA PILAH 3 Nov – Lelaki warga emas maut selepas terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan menunaikan solat Maghrib di Masjid Kariah Juasseh Seberang, Jalan Juasseh Terusan Seberang, di sini, malam tadi.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, motosikal yang ditunggang mangsa bersama isteri hilang kawalan sebelum terbabas akibat telekung yang dipakai wanita berkenaan tersangkut pada tayar belakang.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Gani berkata, mangsa disahkan maut ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Pilah jam 3.50 pagi tadi.

“Kemalangan membabitkan motosikal di Jalan Juasseh Terusan Seberang berdekatan Masjid Kariah Juasseh Seberang kira-kira jam 7 malam tadi.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku ketika motosikal jenis Yamaha 135 LC yang ditunggang lelaki berumur 64 tahun dan pembonceng wanita berusia 60 tahun dari rumah hendak menghala ke masjid untuk menunaikan solat Maghrib,” katanya hari ini.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas telekung pembonceng tersangkut di tayar belakang menyebabkan motosikal hilang kawalan dan terjatuh di jalan raya.

“Akibat daripada kemalangan ini, penunggang dan pembonceng dibawa ke Hospital Kuala Pilah untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, pada jam 3.53 pagi tadi, anggota Kaunter Aduan Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Pilah menerima terima panggilan telefon daripada Unit Forensik Hospital Kuala Pilah memaklumkan penunggang motosikal meninggal dunia ketika menerima rawatan di zon merah.

“Manakala pembonceng mengalami kecederaan di bahagian muka, bibir berjahit dan patah beberapa batang gigi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Harian Metro

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button