Wartawan, aktivis kemanusiaan jadi sasaran baharu Zionis di Palestin
Ibu pejabat Palestinian Media Group dibom dan mengakibatkan tiga wartawan cedera.
KUALA LUMPUR 9 Nov. – Kezaliman Israel di Gaza turut memberi kesan kepada wartawan dan aktivis kemanusiaan sejak Israel mengisytiharkan perang ke atas kumpulan pejuang kebebasan Hamas dan melancarkan serangan ke atas Semenanjung Gaza, Palesin yang terkepung.
Dalam kejadian terbaru, petugas media dan aktivis kemanusiaan antara sasaran terkini tentera Zionis Israel dalam kempen mereka untuk memusnahkan Palestin.
Pengerusi Muslim Care Malaysia (MCM) di Palestin, Ahmed Abu Ayesh Al-Najjar dalam hantaran Facebook MCM berkata ibu pejabat Palestinian Media Group yang terletak di tingkat 16, bangunan Ghafri dibom tentera Israel menyebabkan tiga wartawan mengalami kecederaan.
Menurut data terkini Jawatankuasa melindungi wartawan (CPJ), sekurang-kurangnya 39 wartawan dan pekerja media terbunuh sejak perang bermula pada 7 Oktober dengan lebih 9,900 kematian rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat.
Abu Ayesh yang aktif membantu mengedarkan bantuan makanan dan keperluan asas hasil sumbangan rakyat Malaysia kepada penduduk Gaza berada di tengah-tengah medan konflik perang Hamas-Israel sejak 7 Oktober lalu.
Semalam, beliau dilaporkan cedera akibat serangan bom tentera Zionis Israel namun tetap meneruskan tugas dan amanah untuk mengedarkan bantuan kepada penduduk Gaza yang memerlukan bantuan.
Susulan kediaman beliau di Gaza dibedil Israel pada malam tadi, Abu Ayesh terselamat namun mengalami kecederaan di bahagian dahinya.
Bagaimanapun, empat anggota keluarganya termasuk abang, anak saudara dan dua cucunya meninggal dunia dalam kejadian itu.
“Saya okey, kami okey. Jangan risau. Beberapa jam selepas ini, saya akan keluar edarkan bantuan dari anda (rakyat Malaysia),” katanya dalam hantaran Facebook milik MCM.
Seorang anak saudara kepada Ahmed Abu Ayesh, antara yang terselamat dalam kejadian yang membunuh ahli keluarganya. Imad An-Najar, dirakam berjaya keluar dari celahan runtuhan rumahnya sambil membawa senaskhah al-Quran.
Sementara itu, Exco MCM di Malaysia, Tuan Asri Tuan Hussein memberitahu BH, sehingga hari ini, MCM membelanjakan kira-kira RM2 juta untuk membeli barangan bantuan yang disalurkan kepada penduduk Palestin.
Antara sebab jumlah bantuan yang dihantar tinggi adalah kerana penduduk Gaza amat memerlukan bantuan.
“Menurut maklumat yang MCM peroleh daripada Abu Ayesh, lori yang bawa masuk barang bantuan didapati kandungannya hanya separuh atau suku penuh saja.
“Selain itu pemandu dan lori hanya boleh masuk untuk beberapa kilometer, barangan akan dipindahkan ke kenderaan lain dan dipandu masuk oleh petugas yang dibenarkan sahaja, kita tidak tahu bantuan itu diagihkan ke mana,” katanya.
MCM akan menggiatkan usaha membantu warga Palestin khususnya untuk pembelian ubat-ubatan, makanan dan pakaian atau keperluan menghadapi musim sejuk akan datang.
“Semasa saya dan pasukan berada di Kaherah Mesir, kami diberitahu amat sukar untuk lori dapat kebenaran masuk, ada beratus-ratus lori yang menunggu giliran di sempadan Rafah, sebab itu kami diminta beli barangan yang tempoh luput setahun,” katanya.
Ditanya mengapa bantuan kemanusiaan ditapis di sempadan, Tuan Asri berkata, pihaknya tidak mendapat maklumat rasmi namun kemungkinan untuk mengelak penyeludupan minyak petrol atau barang lain.
Aktivis kemanusiaan, Hamza Deirawi yang berkongsi maklumat terkini di Facebook miliknya berkata kemusnahan akibat pengeboman Israel yang melanda kediaman keluarga Musleh dan Hassanat di Deir al-Balah, tengah Semenanjung Gaza itu meragut empat nyawa dan menyebabkan berpuluh-puluh lagi cedera.
“Israel menyasarkan semua aspek kehidupan di Gaza termasuk kedai roti. Menurut Program Makanan Sedunia, daripada 23 kedai roti yang bekerjasama dengannya di Gaza, hanya satu yang masih beroperasi,” katanya. — Xklusif