Yasin diminta bela diri atas 3 tuduhan kes dadah
Yasin diminta berbuat demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes mereka.

KUALA LUMPUR 3 Okt. – Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini mengarahkan penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman, membela diri atas tiga tuduhan kes dadah.
Hakim, Faiz Dziyauddin, membuat keputusan berkenaan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes mereka.
Pada 15 September lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, memaklumkan mahu menutup kes selepas selesai pemeriksaan semula terhadap pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya ketika itu, Inspektor Muhammad Amirul Mukmin Aziz.
Muhammad Amirul antara tujuh saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan bermula 28 Ogos lalu.
Pihak pendakwaan juga menawarkan tujuh saksi kepada pembelaan termasuk Dr Brian Ho dan Dr Derrick Chow, masing-masing dari Hospital Pantai Kuala Lumpur serta Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Bagaimanapun, peguam bela Muhammad Yasin, Nur’Ain Shahiera Khalid, mengesahkan tidak bercadang untuk memanggil mana-mana saksi ditawarkan pendakwaan pada prosiding bela diri.
Muhammad Yasin, 48, didakwa memberikan dirinya dadah di pejabat narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada jam 11.05 malam, 24 Mac tahun lalu.
Pendakwaan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
Penyanyi itu juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah di kediamannya di Persiaran Surian, Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara, jam 5.30 petang, pada tarikh sama.
Pertuduhan memiliki dadah mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh disebat tidak kurang 10 kali jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan menanam pokok kanabis, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) ADB 1952 dan boleh dipenjara seumur hidup serta tidak kurang enam sebatan jika sabit kesalahan. — Berita Harian