Yayasan LTAT, MIGHT Teruskan Kerjasama Strategik Anjur LAKSAMANA 3.0, Perkasa TVET Anak Warga Pertahanan

Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) dan Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) telah melakar sejarah baharu apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) di Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25). MoU ini menandakan kesinambungan Program Latihan Kemahiran Anak ATM & Anak Veteran (LAKSAMANA) yang mula diperkenalkan pada tahun 2023.
Program LAKSAMANA merupakan satu inisiatif strategik di bawah kerangka Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Industri Pertahanan. Ia bertujuan memperkasa kemahiran teknikal generasi muda Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan anak-anak veteran melalui latihan berstruktur serta jaminan penempatan pekerjaan menerusi konsep ‘train and place’.
Kerjasama erat antara Yayasan LTAT dan MIGHT ini diyakini dapat memperkukuh tenaga kerja mahir dalam kalangan anak-anak warga serta veteran ATM. Usaha ini amat penting dalam menghadapi cabaran era digital dan kecerdasan buatan (AI) yang semakin berkembang pesat di peringkat global.
Program LAKSAMANA juga membuka peluang kerjaya dalam pelbagai industri berintensifkan teknologi seperti minyak dan gas, aeroangkasa, pembuatan, perkapalan, serta tenaga. Pendekatan ini sejajar dengan aspirasi negara untuk membangun selari dengan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR).
Sejak dimeterai MoU pertama pada 2023, program ini telah melahirkan ramai peserta yang berjaya menempatkan diri dalam sektor-sektor utama negara. Kisah kejayaan para peserta menjadi inspirasi kepada generasi muda ATM untuk terus menimba ilmu dan kemahiran.
Dengan pemeteraian MoU terkini, fokus utama diberikan kepada pengukuhan program kemahiran melalui pendekatan Upskilling dan Reskilling. Ini selaras dengan keperluan semasa industri serta aspirasi pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dalam sektor pertahanan dan teknologi negara.
Majlis menandatangani MoU ini disempurnakan oleh Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Nizar Haji Sudin dan Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT, YBrs. En. Rushdi Abdul Rahim. Turut hadir menyaksikan ialah Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI), serta beberapa tokoh penting industri pertahanan dan teknologi.
Yayasan LTAT bersama MIGHT komited untuk terus menerajui inisiatif pembangunan kemahiran golongan sasaran ATM melalui program berimpak tinggi seperti LAKSAMANA. Komitmen ini juga diperluas kepada pelaksanaan inisiatif-inisiatif lain pada masa hadapan demi pembangunan tenaga manusia berkualiti untuk negara.
Inisiatif seumpama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada anak-anak warga dan veteran ATM, malah turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara melalui penyediaan tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi.








