Yazan digantung seumur hidup beraksi di Malaysia
Yazan meludah ke arah pengadil perlawanan (pertuduhan kedua) semasa perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2023 antara Selangor menentang Terengganu di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), 24 September lalu
KUALA LUMPUR 20 Nov – Kelibat bekas pemain import Selangor, Yazan Mousa Mahmoud Al Arab pasti tidak akan ada lagi dalam kancah bola sepak tanah air apabila dia digantung seumur hidup daripada terbabit dalam sukan itu di negara ini.
Menerusi kenyataan media Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hukuman itu dikenakan terhadap Yazan selepas dia didapati melanggar Artikel 51, perenggan 1(a) dan Artikel 59 Kod Tatatertib FAM kerana meluru sambil mengeluarkan kata-kata kepada pengadil perlawanan.
“Pemain ini menarik bahu dan seterusnya menolak dengan daya yang berlebihan di bahagian dada pengadil perlawanan (pertuduhan pertama) dan apabila dilayangkan kad merah, pemain ini secara agresif menyerang dengan menyepak ke bahagian punggung kiri pengadil.
“Yazan meludah ke arah pengadil perlawanan (pertuduhan kedua) semasa perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2023 antara Selangor menentang Terengganu di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), 24 September lalu.
“Dia digantung empat perlawanan bagi pertuduhan pertama dan digantung seumur hidup daripada terbabit dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk aktiviti pentadbiran, pengurusan dan kesukanan serta aktiviti yang bersampingan dengannya di Malaysia bagi pertuduhan kedua,” menurut kenyataan itu selepas mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM d ke-14 bagi penggal 2021-2025 yang diadakan di Wisma FAM, hari ini.
Sementara itu, juara 10 kali Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) perlu membayar RM15,000 berikutan tindakan seorang penyokong skuad Harimau Selatan memukul penyokong Kuala Lumpur City (KL City) FC pada aksi final Piala FA 2023 di Stadium Sultan Ibrahim.
“JDT didenda RM15,000 bagi setiap kesalahan serta diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.
i”Bagaimanapun, keputusan itu masih boleh dirayu,” katanya.
Nasib malang turut melanda Selangor FC kerana mereka perlu membayar denda RM23,000 membabitkan tiga kesalahan pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2023 tempoh hari.
“Selangor FC didenda RM10,000 bagi pertuduhan pertama, RM3,000 bagi pertuduhan ketiga dan RM10,000 bagi pertuduhan ketiga.
“Selangor FC diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan sama,” katanya. – Harian Metro