Berita

Yuran pendaftaran: Kalau ada IPTA langgar arahan, tunggu kementerian datang – Khaled

Sekiranya terdapat pihak universiti yang melanggar arahan berkenaan, kementerian itu akan mengambil tindakan sewajarnya.

KUALA LUMPUR 1 Nov – Universiti awam di negara ini diminta mematuhi ketetapan kerajaan yang mengehadkan yuran pendaftaran masuk tidak melebihi RM1,500 bermula Jan tahun depan.

Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin berkata sekiranya terdapat pihak universiti yang melanggar arahan berkenaan, kementerian itu akan mengambil tindakan sewajarnya.

“Bagaimanapun saya percaya apabila ada arahan dan keputusan jelas, unversiti tidak akan melanggar arahan tersebut.

“(Kalau langgar) tunggu kementerian datang,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan persidangan Pasaran Kerja Graduan anjuran KPT dan Universiti Putra Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam Belanjawan 2024, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan bermula Jan ini yuran bagi pendaftaran masuk ke universiti awam dihadkan tidak melebihi RM1,500.

Anwar berkata langkah itu selari dengan nilai pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional berjumlah RM1,500 kepada semua bakal pelajar baru yang layak. – Bernama

Artikel Berkaitan

Back to top button