Sukan

Yusuf Azmi tewas kepada petinju Indonesia, Yunus Martin dalam aksi kemuncak WWC

Pengasas Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (Semboyan), Yusuf Azmi terpaksa menerima kekalahan selepas ditumbangkan petinju Indonesia, Yunus Martin dalam pertarungan kemuncak Warzone World Championship (WWC) di N9 Arena, Nilai, malam tadi.

Aksi yang menjadi tumpuan ramai itu bermula sengit apabila Yusuf membuka pusingan pertama dengan beberapa tumbukan padu yang mengundang sorakan kuat penonton.

Namun memasuki pusingan ketiga, keletihan ketara mula mengganggu rentaknya. Yunus pula semakin agresif, melancarkan serangan bertubi-tubi sehingga memaksa pasukan Yusuf melemparkan tuala putih dengan baki 22 saat sebagai isyarat menghentikan pertarungan.

Keputusan itu menyaksikan Yunus menang menerusi kiraan technical knockout (TKO), sekali gus meraih kemenangan sulungnya di Malaysia.

Tular pula rakaman yang memaparkan detik Yusuf hilang keseimbangan dan terhuyung-hayang di atas gelanggang, mencetuskan pelbagai reaksi netizen.

Ada yang menyifatkan wajah Yusuf kelihatan pucat dan letih pada pusingan ketiga, selain membandingkan momen itu dengan babak pertarungan klasik filem P. Ramlee. Tidak kurang juga yang mengulas bahawa semangat Yusuf kuat, namun faktor stamina dan usia menjadi kekangan utama.

Artikel Berkaitan

Back to top button