Politik

Zahid akui dalam UMNO ada ‘kacang hantu’

Pihak pimpinan perlu mengarahkan ahli-ahli mereka untuk menarik balik atau memadam tulisan-tulisan berkaitan di mana-mana medium

KUALA LUMPUR 5 Feb – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menggesa supaya ketua-ketua parti dalam Kerajaan Perpaduan menegur ahli-ahli yang mempertikaikan keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menegaskan, pihak pimpinan perlu mengarahkan ahli-ahli mereka untuk menarik balik atau memadam tulisan-tulisan berkaitan di mana-mana medium.

“Ketua-ketua parti juga perlu arahkan ahli-ahli terlibat untuk mohon maaf atas ketelanjuran mereka.

“Saya harap tindakan berkenaan dapat meredakan ketegangan dan mengetepikan kekeruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas berucap di Majlis Amanat Menteri Kepada Pengerusi, Ahli Lembaga Pengarah Dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Milikan Agensi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di sini, petang ini.

Dalam masa sama, beliau juga tidak menolak bahawa di dalam UMNO sendiri juga wujud ‘kacang hantu’.

“Di dalam UMNO sendiri pun ada kacang-kacang hantu yang begitu dan tentunya mana-mana organisasi politik pun sama.

“Namun, selagi ianya tidak dikeluarkan oleh pemegang jawatan utama ketua kepada parti berkenaan, kita tidak anggap itu sebagai pendapat rasmi,” ujarnya.

Selain itu beliau berkata, sebagai sebuah organisasi politik (UMNO) yang pernah berketuakan Najib, mereka bertanggungjawab untuk membuat rayuan kepada pembelaannya.

“Kita mempunyai satu tanggungjawab untuk membuat rayuan kepada pembelaannya kerana Datuk Seri Najib tidak diberikan keadilan melalui proses seawal kes itu dibawa ke mahkamah.

“Hukuman itu adalah soal di mana kita menghormati institusi perundangan itu tetapi apabila keadilan sebenarnya tidak diberikan, maka itulah yang telah kami sama-sama persetujui untuk melakukan pembelaan kepada beliau,” jelasnya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memanggil bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina institusi diraja berhubung pengampunan ke atas Najib.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kenyataan itu bersifat menghasut orang ramai agar membenci dan menghina institusi diraja mengenai kuasa mutlak Yang Dipertuan Agong dalam menjalankan bidang kuasa di bawah artikel 42 Perlembagaan Persekutuan.

Ahmad Zahid menjelaskan, perkara itu tidak memberikan kesan ke atas hubungan dengan DAP, namun sebagai sebahagian daripada Kerajaan Madani, maka perlu ada sikap menghormati antara satu sama lain.

“Tidak ada terkesan, namun sebagai sebuah ‘collation’ parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan Madani ini, kita mesti menyantuni perbezaan pendapat.

“Tapi kita masih menaruh harapan penuh hormat kepada pimpinan utama parti kerana ia bukan menjadi pendirian pegangan parti.

“Jadi, pendapat berbeza yang dikeluarkan itu maka saya juga tidak boleh halang mana-mana pemimpin, sayap atau ahli yang buat laporan polis terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh individu yang tidak mewakili parti berkenaan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button