Zahid berjaya henti pertuduhan bermotif politik
Keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan Zahid dari 47 pertuduhan rasuah membabitkan Yayasan Akal Budi

KUALA LUMPUR 4 September – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan dirinya terhadap kes dihadapinya menunjukkan tuduhan bermotif politik selama ini sudah berjaya dihentikan.
Beliau berkata, selepas ini menjadi tugasnya dan kepimpinan BN serta UMNO untuk memulihkan persepsi rakyat terhadap segala bentuk tuduhan politik selama ini yang dilemparkan kepada mereka.
“Tugas kami dalam UMNO dan BN adalah untuk meneruskan perjuangan ini supaya lemparan tuduhan yang selama ini bermotifkan politik dapat dihentikan,” katanya pada sidang media di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid, 70, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.
Ahmad Zahid didakwa dengan 47 pertuduhan iaitu lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tidak henti memberikan sokongan sepanjang menghadapi perbicaraan kes itu.
“Ini perjuangan yang harus diteruskan, saya secara peribadi dan rakan dalam kepimpinan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, pengerusi perhubungan (negeri), ketua bahagian dan ketua cawangan pada pelbagai peringkat.
“Saya ucapkan terima kasih atas dokongan rakan dalam MKT yang mana parti komponen BN juga sudah memberikan sokongan moral kepada saya,” katanya yang hadir diiringi ahli keluarga, penyokongnya dan pemimpin UMNO. – Xklusif