Berita

Zahid harap tidak berlaku pertempuran di jalanan Sabtu ini

Zahid berkata, sebagai sebuah negara demokrasi, terdapat dua kumpulan yang mahu mengadakan perhimpunan pada masa yang sama.

KUALA LUMPUR 13 Sept – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap, perhimpunan yang akan diadakan di ibu negara, Sabtu ini, termasuk anjuran Perikatan Nasional (PN) akan berlangsung dengan aman, tanpa sebarang ‘pertempuran’.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sebagai sebuah negara demokrasi, terdapat dua kumpulan yang mahu mengadakan perhimpunan pada masa yang sama.

“Kita sebuah negara demokrasi. Ada pihak yang mahu menganjurkan, ada pihak yang mahu menganjurkan satu lagi (perhimpunan).

“Saya harap tidak akan berlaku pertempuran di jalanan,” katanya pada sidang media selepas melawat Pavilion Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Ahad lalu, Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya bercadang menganjurkan perhimpunan pada Sabtu ini di hadapan Kompleks Sogo bagi memulakan kempen ‘Gerakan Selamatkan Malaysia’.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, kempen berkenaan digerakkan pihaknya berikutan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) terhadap Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi, minggu lalu.

Pada masa sama, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos dilaporkan mengajak kumpulan dinamakan ‘Gerakan Baju Merah’ melakukan demonstrasi di kawasan sama, sebagai tindak balas kepada perhimpunan Pemuda PN, jika mereka mahu meneruskan kempen berkenaan.

Jamal mendakwa ribuan ahli di bawah Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia akan beliau gerakkan untuk menghalang perhimpunan itu daripada menjejaskan keharmonian negara. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button