Politik

Zahid perlu berundur kalau UMNO kalah PRN

KUALA LUMPUR 26 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu berundur dalam parti dan kerajaan jika keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti menyaksikan UMNO gagal memenangi kerusi yang diwakilinya.

Menurut Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Kartini Aboo Talib, UMNO perlu bangkit semula dan sangat memerlukan kepemimpinan muda dan berkaliber.

“Zaman otai sudah berlalu. Ahmad Zahid perlu berundur dengan cara terhormat.

“Datuk Seri Mohamad Hasan (Timbalan Presiden UMNO) mungkin mempunyai visi tapi dia ibarat acuan Ahmad Zahid dan belum cukup gagah untuk menolak ketuanya dari terus menjadi Presiden UMNO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Kartini berkata, Pakatan Harapan (PH) juga dilihat lemah bukan sahaja disebabkan Ahmad Zahid tetapi ia turut disumbangkan faktor-faktor lain yang melingkari permasalahan rakyat.

Jelas beliau, ia seperti manifesto yang tidak tertunai, ketiadaan subsidi elektrik bagi golongan M40 selain inflasi yang memburukkan harga barangan pengguna termssuk BLR pinjaman bank makin tinggi.

“Semua ini membuatkan rakyat tidak berpuas hati dengan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Penerangan PAS Pusat, Khairil Nizam Khirudin mencabar Ahmad Zahid untuk berundur daripada jawatan secara terhormat jika PH-BN gagal dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri 12 Ogos depan.

Cabaran itu dibuat Khairil Nizam sebagai tindak balas kenyataan Ahmad Zahid yang mencabar Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menggunakan PRN enam negeri sebagai ‘kayu ukur’ sokongan rakyat.

Baru-baru ini BN mengumumkan seramai 108 calon yang akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri bulan depan. Malaysiagazette

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button