
Pendakwah bebas Zamri Vinoth telah menerima cabaran Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, untuk berdebat mengenai agama Hindu, susulan kecaman awam terhadap kenyataannya mengenai ritual kavadi.
Zamri mengesahkan kesediaannya untuk berdebat dalam satu hantaran di Facebook lewat malam tadi, sebagai respon kepada cabaran yang dikemukakan oleh Saravanan semalam.
“Siapa yang bersedia untuk menganjurkannya? Di mana ia akan diadakan? Apa tajuk perbincangan?” katanya.
Sebagai respon, Saravanan berkata debat itu akan memberi fokus kepada dakwaan Zamri bahawa penganut Hindu yang melakukan ritual kavadi kelihatan seperti “dirasuki dan mabuk todi”.
Beliau mencadangkan agar debat diadakan pada 23 Mac, dengan Dewan Bahasa Tamil Malaysia sebagai penganjur. Bagi lokasi, beliau berkata Zamri boleh memilih mana-mana tempat di Kuala Lumpur.
“Saya menunggu pengesahan anda. Pada masa yang sama, agak ‘pelik’ apabila anda menerima cabaran debat tetapi telah menyahaktifkan ruangan komen di hantaran Facebook anda,” tambah Saravanan dalam satu hantaran di Facebook.
Cabaran untuk berdebat timbul selepas kenyataan Zamri mengenai ritual kavadi mencetuskan kecaman, dengan Saravanan menggesa agar beliau ditangkap di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, turut membuat laporan polis terhadap Zamri, manakala bekas Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Ramkarpal Singh, berkata kenyataan pendakwah itu jelas melanggar undang-undang, termasuk Seksyen 504 dan 505 Kanun Keseksaan, yang memerlukan siasatan segera.
Zamri pernah disiasat pada tahun 2019 kerana membuat kenyataan yang dianggap menghina agama Hindu, namun tidak didakwa kerana kekurangan bukti.
Kenyataannya yang terbaru dibuat di tengah-tengah kemarahan awam terhadap tiga penyampai radio Era FM yang dikecam hebat kerana mempersendakan amalan Hindu yang sama.