Berita

Zayn dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum diletak di anak sungai

Hasil bedah siasat juga mendapati kanak-kanak itu sudah meninggal dunia dalam tempoh 48 jam sebelum ditemukan.

KUALA LUMPUR 8 Dis. – Kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang ditemukan meninggal dunia di aliran anak sungai di Damansara Damai dekat Petaling Jaya, Selangor dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya diletakkan di anak sungai terbabit.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata hasil bedah siasat semalam mendapati kanak-kanak berusia enam tahun itu meninggal dunia dalam tempoh 48 jam sebelum mayatnya ditemukan.

“Mengambil kira daripada hasil bedah siasat, polis merumuskan mangsa tidak mati di tempat kejadian, mungkin mati di tempat lain dan diletakkan di situ (anak sungai)…yang pasti dia (Zayn Rayyan) bukan lemas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di malam tadi.

Mohd Shuhaily berkata hasil proses bedah siasat, selain kecederaan di leher dan badan mangsa, terdapat juga kecederaan mempertahankan diri.

Dia berkata siasatan awal mendapati aliran anak sungai itu bukan laluan kebiasaan masyarakat setempat, namun tidak menolak kemungkinan suspek memahami selok-belok lokasi kejadian terbabit.

Katanya siasatan akan diteruskan di lokasi kejadian bagi mencari bukti untuk menjejaki suspek dan setakat ini polis telah merakam keterangan daripada ibu bapa mangsa.

Polis juga, katanya, tidak menolak kemungkinan suspek dalam kejadian ini melibatkan individu yang tinggal di kawasan kejadian, namun siasatan lanjut masih dijalankan.

“Pihak polis bersama masyarakat setempat selama dua hari telah melalui tempat sama, tidak menemukan mangsa tetapi dijumpai pada hari kedua lewat malam.

“Kita memandang serius kes ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil menyalurkannya bagi membantu siasatan,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata pada ketika ini, siasatan kematian Zayn Rayyan konsisten kepada kes bunuh.

Selepas dilaporkan hilang di Damansara Damai tengah hari Selasa lalu, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia dalam aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya kira-kira 10 malam Rabu.

Mayat kanak-kanak lelaki itu dijumpai kumpulan penduduk yang turut membantu operasi mencari mangsa.

Mangsa ditemukan terbaring di sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya di Apartmen Idaman, Damansara Damai.

Terdahulu, ibu Zayn Rayyan dilaporkan menyedari kehilangan anaknya ketika menaiki tangga untuk pulang ke rumah mereka di tingkat tiga apartmen itu kira-kira 12.30 tengah hari, sebelum kanak-kanak berkenaan dikatakan kali terakhir dilihat memasuki kawasan belukar berhampiran Apartmen Idaman. — Bernama

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button