Berita

Zayn Rayyan dibunuh: Polis kesan pergerakan melalui dashcam

Polis bagaimanapun perlu meneliti lebih lanjut rakaman berkenaan

PETALING JAYA 12 Dis – Hasil analisa beberapa rakaman kamera papan pemuka (dashcam) milik penduduk yang diterima polis telah mengesan pergerakan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar berkata, bagaimanapun pihaknya perlu meneliti lebih lanjut rakaman berkenaan.

Kata beliau, namun tidak dipastikan sama ada ia merupakan individu atau objek lain.

“Memang terdapat pergerakan (terakam) pada dashcam, namun kita perlu ‘enhance‘ (pertingkatkan) video (supaya lebih jelas) sama ada individu atau objek lain,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Hussein berkata, pihaknya juga mendapatkan bantuan dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi membantu menyedut keluar takungan air di lokasi penemuan.

“Betul kita minta bantuan JPS hari ini bagi melihat dalam takungan itu sama ada wujud sebarang bukti baharu, tetapi setakat ini tiada penemuan bukti baharu.

“Polis masih berusaha bagi mengumpul lagi keterangan dan risikan untuk mengenal pasti suspek,” jelasnya.

Mengulas berhubung pemeriksaan pihaknya di blok lain semalam, beliu berkata proses berkenaan adalah sebahagian daripada ‘mass screening’.

“Keputusan ‘mass DNA screening‘ atau ujian DNA beramai-ramai penduduk Apartmen Idaman, Damansara Damai, dijangka diperoleh dalam tempoh dua hingga tiga hari.

“Jumlah keseluruhan sampel DNA yang diambil ialah sebanyak 228 sampel,” katanya.

Dalam pada itu, Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga kini masih meneruskan siasatan yang masuk hari keenam di Apartmen Idaman.

Tinjauan di lokasi mendapati sepasukan anggota polis bersama Unit Forensik PDRM dipercayai dari Polis Kontinjen Selangor tiba di lokasi kira-kira pukul 11.45 pagi.

Difahamkan, kehadiran mereka ke lokasi bagi meneruskan siasatan bagi mencari bukti dan petunjuk baharu yang boleh membantu siasatan kes itu.

Turut dilihat berada di lokasi adalah kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor.

Kerja mengepam air kedengaran bermula sekitar pukul 12.20 tengah hari dan ketika ini keadaan di lokasi hujan lebat.

Pada 6 Disember lalu, mayat Zayn Rayyan ditemui di saliran air berdekatan takungan air 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini, kira-kira pukul 10 malam.

Kematian Zayn Rayyan kemudian diklasifikasi sebagai kes bunuh selepas bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu. – UTUSAN

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button