
Malaysia komited untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan dengan negara-negara BRICS, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz.
“Komitmen Malaysia adalah untuk mengukuhkan sistem perdagangan berasaskan peraturan dan inklusif. Bersama-sama, kita akan membina masa depan ekonomi global yang lebih adil dan progresif!” katanya dalam satu hantaran di X hari ini.
Pengesahan Tengku Zafrul ini hadir selepas kementeriannya menyatakan awal hari ini bahawa penglibatan Malaysia dengan platform pelbagai hala seperti BRICS adalah berpandukan kepentingan negara dan bukan penjajaran ideologi.
a merupakan respons kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang telah mengancam untuk mengenakan tambahan tarif sebanyak 10% ke atas negara-negara yang sejajar dengan dasar “anti-Amerika” BRICS.
Kementerian berkata Malaysia mengekalkan “dasar luar dan ekonomi yang bebas”.
“Penglibatan kami dengan mana-mana platform pelbagai hala adalah tertumpu kepada pemudahcara perdagangan dan pembangunan mampan.
“AS kekal sebagai salah satu rakan ekonomi utama Malaysia, bukan sahaja melalui perdagangan tetapi juga menerusi pelaburan Amerika bernilai berbilion dolar yang telah ditubuhkan di Malaysia selama lebih 50 tahun,” kata seorang jurucakap.
Tengku Zafrul turut berkata bahawa pertemuan sampingan dengan negara rakan BRICS dan pemimpin perniagaan telah membuka peluang baharu untuk syarikat-syarikat Malaysia meneroka pasaran dan peluang pelaburan dalam “sektor berorientasikan masa depan”.
Beliau berkata kementeriannya akan terus memudah cara dan menyokong syarikat tempatan untuk terus berani meneroka pasaran baharu.
“Dengan ekonomi digital ASEAN dijangka mencecah AS$2 trilion (RM8.47 trilion) menjelang tahun 2030, ini adalah peluang keemasan yang tidak boleh kita sia-siakan,” katanya.