PRN: PH boleh terus berangan nak rampas Kedah – Sanusi

KUALA LUMPUR 4 Julai – Menteri Besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mencadangkan pembangkang supaya terus berangan-angan untuk merampas Kedah dengan peralihan undi 10 peratus daripada Perikanan Nasional (PN) kepada gabungan itu pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
“Peralihan undi sebanyak 10 peratus sukar dalam politik, khususnya mengambil kira corak sokongan di Kedah. Perubahan pengundi Melayu susah berlaku.
“Tak apalah, teruskan berangan-angan,” katanya.
Sanusi mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah Mahfuz Omar baru-baru ini bahawa gabungan itu mampu merampas negeri itu daripada PAS, sekiranya berlaku peralihan 10 peratus undi.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah mempunyai 36 kerusi, dengan PN sebelum ini memegang 20 kerusi (PAS-14, Bersatu – enam); PH 10 kerusi (PKR – lima, Amanah – tiga, DAP – dua); BN dua kerusi (Umno – 2) dan Pejuang (dua).
Dua kerusi DUN kosong susulan tindakan Adun Gurun Johari Abdul dari PKR yang mengosongkan kerusinya pada 18 Disember tahun lalu apabila dia dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat manakala DUN Belantek kosong akibat kematian Adunnya, Mohd Isa Shafie pada 14 Jun.
DUN Kedah dibubarkan pada 28 Jun dan pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran.