Anwar umum kadar subsidi padi naik kepada RM500 mulai esok
Anwar menyifatkan peningkatan sebanyak RM140 membabitkan peruntukan tambahan RM1 bilion setahun adalah satu-satunya kenaikan subsidi sejak kenaikan terakhir diumumkan kira-kira 25 tahun lalu.

KUALA LUMPUR 8 Ogos – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kenaikan subsidi padi daripada RM360 kepada RM500 satu tan berkuat kuasa esok.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Majlis Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Perak di Dewan Kerian Lermai, Parit Buntar, Perak.
Majlis turut dihadiri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Anwar menyifatkan peningkatan sebanyak RM140 membabitkan peruntukan tambahan RM1 bilion setahun adalah satu-satunya kenaikan subsidi sejak kenaikan terakhir diumumkan kira-kira 25 tahun lalu.
Beliau berkata, pengumuman itu akan menyaksikan pesawah di negara ini memperoleh RM1,700 bagi satu metrik tan pengeluaran padi bermula esok.
“Kenaikan (subsidi padi) yang paling akhir adalah semasa Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan dulu, 25 tahun lalu.
“Alhamdulillah kini sudah jadi Menteri Kewangan, subsidi itu naik lagi daripada RM360 kepada RM500,” katanya. — Harian Metro