Sukan

‘I am the brand’, TMJ dedah kenapa pilih bangunkan bola sepak

TMJ membuat beberapa hantaran di InstaStory peribadinya semalam bagi memberi penjelasan kepada orang ramai

KUALA LUMPUR 10 Okt – Penglibatan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris dalam membangunkan Johor Darul Takzim (JDT) sejak 11 tahun lalu berjaya membuktikan kebolehannya dalam mentadbir kelab bola sepak tempatan.

Malah, usahanya itu wajar dijadikan teladan kerana biarpun berdepan pelbagai cabaran dan kecaman, beliau komited menaikkan status kelab Liga Super itu ke tahap yang membanggakan.

Namun, timbul persoalan dalam kalangan penyokong JDT sendiri mengenai keputusan TMJ untuk memberi fokus sepenuhnya terhadap sukan berkenaan.

Menjawab tanda tanya berkenaan, TMJ membuat beberapa hantaran di InstaStory peribadinya semalam bagi memberi penjelasan kepada orang ramai.

“Kenapa bola sepak? Bola sepak ini milik orang ramai. Ia boleh dimainkan di mana sahaja anda berada tanpa mengira kaum, agama, etnik mahupun status sosial.

“Ia mempunyai tempat untuk semua dan oleh itu, terbitlah ideologi kekeluargaan JDT. Itulah sebabnya ia menjadi satu perkara merepek bagi sesiapa untuk membandingkan bola sepak dengan sukan-sukan individu,” tulisnya.

TMJ turut menjelaskan bahawa dia cukup berminat dengan sukan polo, namun memahami bahawa permainan berkenaan tidak dapat disertai masyarakat umum.

“Bola sepak bukanlah satu sukan di mana anda hanya akan membazirkan wang kerana ia hobi persendirian seperti sukan-sukan lain.

“Duit yang dilaburkan dalam bola sepak adalah satu bentuk kemegahan buat negeri Johor dan bagi menggembirakan kesemua penyokong,” katanya.

Berdasarkan pemerhatian lalu, JDT mempunyai tarikan cukup baik daripada penyokongnya apabila Stadium Sultan Ibrahim, Johor sering dibanjiri penyokong.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga sering dijemput untuk menyaksikan sambutan kejuaraan yang kerap dihadiri artis luar negara serta persembahan bunga api.

Jadi, tidak hairanlah apabila TMJ sering membuktikan kesetiannya terhadap JDT meskipun sering dipertikaikan penyokong pasukan lain.

“Akhir sekali, anda yang lain terpaksa bergantung kepada jenama luar, tetapi tidak untuk saya kerana saya adalah jenama itu,” katanya. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button