Pengasas MYAirline disiasat kes penipuan RM81 juta
Polit telah menerima 67 laporan polis berkaitan skim pelaburan i-Serve.

KUALA LUMPUR 4 Nov. – Selepas kegagalan MYAirline, pengasas bersamanya kini disiasat berhubung kerugian RM81 juta dalam skim pelaburan yang dikaitkan dengannya.
Polis telah membuka kertas siasatan baharu terhadap Datuk Allan Goh selepas menerima 67 laporan polis mengenai skim pelaburan i-Serve.
Pesuruhjaya Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dipetik Bernama sebagai berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan.
“Laporan itu dibuat oleh individu yang melabur dalam i-Serve.
“Kerugian dianggarkan RM81,609,900 dan kami menggesa sesiapa yang menjadi mangsa skim pelaburan ini tampil membuat laporan polis,” katanya pada sidang media semalam.
Goh, pengasas bersama syarikat penerbangan itu dan tujuh individu lain, termasuk peguam syarikat dan pemegang saham, telah direman sebelum ini bagi memudahkan siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Mereka kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis.
Dalam perkembangan lain, Ramli menasihatkan rakyat Malaysia yang ingin menderma kepada rakyat Palestin supaya menyemak kebenaran wakil yang mengendalikan sumbangan itu bagi mengelak daripada ditipu.
Walaupun pihak polis masih belum menerima sebarang laporan mengenai penipuan sebegitu, beliau tidak menafikan kemungkinan ada pihak yang tidak bertanggungjawab sanggup menjadi mangsa krisis Palestin semasa dan kemurahan hati rakyat Malaysia.
“Tiada undang-undang khusus yang mengawal kutipan derma untuk bencana yang tidak diuruskan oleh kerajaan.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, polis menggesa mereka yang terlibat dalam mengutip derma supaya didaftarkan dan diselia oleh agensi kerajaan,” kata Ramli.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan pada 24 Okt bahawa ia sedang menyiasat sebuah NGO yang menjalankan kutipan derma untuk rakyat Palestin. — Xklusif