IJN tingkatkan kebolehan dalam bidang elektrofisiologi jantung, tawar penjagaan pesakit melalui inovasi pertama di Asia Tenggara

INSTITUT Jantung Negara (IJN) telah mencipta sejarah perubatan apabila menjadi pusat perubatan pertama di Asia Tenggara yang berjaya melaksanakan implan perentak jantung ‘pacemaker’ dwi-ruang tanpa wayar pertama di dunia, iaitu Abbott AVEIR™ DR, Diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat pada Jun 2023, AVEIR™ DR menawarkan pilihan inovatif untuk merawat pesakit yang mengalami degupan jantung perlahan atau tidak teratur.
“IJN terus menjadi peneraju dalam rawatan jantung di Malaysia dan serantau. Perentak jantung dwi-ruang tanpa wayar ini ini bakal memperbaiki penjagaan pesakit sedia ada dan mencipta peluang untuk merawat lebih ramai pesakit. Dengan pemansuhan penggunaan wayar dan poket pembedahan, sistem perentak jantung baharu ini mengurangkan risiko komplikasi seperti jangkitan, wayar tercabut atau saluran darah tersumbat dengan ketara, “kata Datuk Dr Azlan Hussin, Pakar Perunding Kanan dan Pengarah Klinikal — Intervensi Elektrofisiologi dan Peranti Boleh Di Implan.
Selama beberapa dekad, teknologi ‘pacemaker’ kekal tidak berubah disebabkan cabaran teknikal untuk mewujudkan komunikasi dwi-ruang tanpa wayar secara lancar. Namun, AVEIR™ DR mengubah lanskap tersebut dengan menawarkan penyelarasan degupan jantung yang lebih semula jadi serta meningkatkan kualiti hidup pesakit, khususnya mereka yang berisiko tinggi terhadap komplikasi dari penggunaan alat konvensional.
Direka untuk pesakit yang mengalami jantung perlahan atau tidak normal, alat AVEIR™ DR merupakan lonjakan besar dalam teknologi ‘pacemaker’. Berbeza dari perentak jantung tradisional, yang diletakkan di bawah kulit dengan wayar yang disambungkan ke jantung, sistem AVEIR™ DR menggunakan dua perentak jantung yang lebih kecil dan diimplan terus ke dalam atrium dan ventrikel kanan jantung.
Rangka sistem ini dibina berlandaskan teknologi komunikasi i2i™ (implant-to-implant) proprietari Abbott, yang membolehkan penyelarasan ‘real-time’ dan tanpa wayar antara dua peranti menerusi gelombang frekuensi tinggi yang dihantar melalui aliran darah semula jadi badan. Teknologi ini bukan sahaja membolehkan penyelarasan degupan secara berterusan, malah memanjangkan jangka hayat peranti dengan menggunakan kuasa bateri yang lebih rendah daripada kaedah tanpa wayar tradisional seperti Bluetooth® atau isyarat frekuensi radio.
Dr Azlan berkata bahawa “Teknologi baharu ini membuka kemungkinan baharu untuk orang yang mempunyai irama jantung yang tidak normal. Sistem AVEIR™ DR juga direka untuk menyediakan analisis rentakan ‘real-time’, membolehkan pakar perubatan mengesahkan penempatan peranti yang betul semasa prosedur sebelum implantasi ke dalam ruang jantung,” tambah Dr Azlan. “Inovasi ini secara langsung menangani keperluan pesakit yang mempunyai ‘bradycardia’ dan meningkatkan kualiti hidup melalui penyelesaian tanpa wayar sepenuhnya.”
Di IJN, inovasi bukan sekadar mengenai teknologi baharu, tetapi tentang mencipta impak yang bermakna. “Prosedur implantasi AVEIR™ DR Ini merupakan satu lonjakan besar dalam penjagaan kesihatan jantung, sekali gus mengukuhkan peranan kami sebagai peneraju serantau dalam bidang ini. Memandangkan penyakit kardiovaskular kekal sebagai satu cabaran utama negara, kami percaya bahawa kesedaran, intervensi awal dan penggunaan penyelesaian teknologi canggih harus berjalan seiring,” kata Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Ezani Md Taib.
Sistem AVEIR™ DR Abbott merevolusikan penjagaan jantung sebagai perentak jantung dwi ruang tanpa wayar yang pertama dan satu-satunya di dunia yang menyalurkan rentak yang lancar tanpa komplikasi. Dengan reka bentuk invasif minimum, hayat jangka panjang dan ciri-ciri pengubahsuaian untuk keperluan terapeutik masa hadapan, AVEIR™ DR merangkumi komitmen Abbott menerajui teknologi transformasi yang memperkasakan hidup pesakit dengan lebih bermakna dan sihat.
Sehingga kini, 18 pesakit telah menerima peranti baharu tersebut, dengan implantasi pertama dilakukan pada 27 Mei. Pencapaian ini dibina atas pengalaman selama sedekad IJN dalam teknologi perentak jantung tanpa wayar, di mana hampir 900 pesakit telah menjalani prosedur melibatkan perentak jantung tanpa wayar.
Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memajukan rawatan jantung, IJN turut memainkan peranan penting dalam pembangunan dan penilaian klinikal awal dalam teknologi perentak jantung generasi baharu. Pada tahun 2018, IJN menjadi hospital pertama di luar Amerika Syarikat yang menjalankan implan Micra AV, perentak jantung terkecil di dunia. IJN terus meningkatkan tahap kecermelangan dalam penjagaan jantung di Asia Tenggara dan serantau. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.ijn.com.my.