Politik

KJ, Shahidan Kassim bukan calon PAS di PRN Selangor

KUALA LUMPUR 30 April – Nama dua bekas pemimpin UMNO iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim dan Khairy Jamaluddin tiada dalam senarai calon untuk bertanding mewakili PAS dalam pilihan raya negeri (PRN) di Selangor.

Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, ini kerana semua nama disenarai pendek pihaknya untuk bertanding dalam PRN itu nanti berasal dari negeri ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata tiada sebarang perbincangan diadakan mengenai kemungkinan untuk menyenaraikan Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau dan Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO sebagai antara calon di negeri ini.

Malah, katanya tiada perbincangan juga dilakukan berhubung perkara itu antara PAS dan Perikatan Nasional (PN) di Selangor setakat ini.

“PAS Selangor sudah kenal pasti calon yang akan bertanding dalam PRN nanti, tetapi nama mereka (Shahidan dan Khairy) tidak dibincangkan.

“Setakat ini nama disenarai pendek itu terdiri mereka yang berasal dari Selangor. Tiada perbincangan untuk meletakkan beliau (Shahidan dan Khairy),” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, Shahidan membayangkan akan bertanding dalam satu daripada enam pilihan raya negeri akan datang.

Meskipun tidak mendedahkan kerusi diminatinya, tetapi ada dakwaan mengatakan beliau mengintai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di Selangor.

Selain itu, ada laporan mengatakan Khairy sudah didekati Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding di bawah gabungan politik itu sama ada di Selangor atau Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, Roslan Shahir berkata, beliau tidak mengetahui sama ada kepemimpinan pusat mempertimbangkan untuk meletakkan Shahidan atau Khairy di mana-mana kerusi DUN untuk PRN tidak lama lagi.

“PAS Selangor akan memberikan sokongan jika pucuk pimpinan Pusat memutuskan untuk meletakkan mereka di kerusi DUN,” katanya. — BH

Artikel Berkaitan

Back to top button