Politik

Lima tahun berehat politik, ini 3 perubahan mahu dibawa Shahrizat

KUALA LUMPUR 22 Feb – Keputusan untuk bersara daripada politik kira-kira lima tahun lalu rupanya bukanlah titik noktah bagi Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil untuk meneruskan perjuangan Wanita UMNO apabila kini kembali merebut jawatan nombor satu sayap berkenaan pada pemilihan 11 Mac depan.

Malah, berbekalkan semangat baru yang diperoleh berdasarkan tinjauannya sendiri selama lima tahun, kini beliau nekad menjadikan sayap itu lebih relevan, lantang dan berwawasan,

Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu juga pernah terpalit dengan episod skandal NFC mahu satu persekitaran yang positif diwujudkan di kalangan Wanita UMNO sekali gus memberi hala tuju baharu yang jelas dalam membawa perjuangan parti.

Ini tiga perkara yang Shahrizat kongsikan kepada Xklusif berkaitan perubahan dalam sayap parti keramat Melayu itu jika diberi peluang untuk mengemudinya kembali.

1. Transformasi landskap politik

Shahrizat merasakan sudah tiba masanya untuk Wanita UMNO sedar bahawa landskap politik kini bukan lagi seperti dahulu dengan wujudnya pelbagai pilihan untuk menentukan siapa yang boleh menjadi ketua mereka.

“Saya harap perwakilan buat pilihan tanpa paksaan. Pilih pemimpin yang boleh memimpin sebaiknya kerana landskap politik amat berlainan.

“Kita kini di bawah Kerajaan Perpaduan, kita mesti duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan rakan dalam kerajaan seperti DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) dan lain-lain.

“Ketua Wanita perlu ada kecekalan dan keberanian serta mampu berdiri sama tinggi dalam barisan kepemimpinan parti,” katanya.

Menurut Sharizat, jika tidak, suara wanita akan hilang dan perkara ini boleh membawa kehancuran kepada Wanita.

Selain itu, amat penting untuk diterapkan dalam kalangan Wanita UMNO kerana ia perlu dibawa apabila tiba Pilihan Raya Umum (PRU) yang seterusnya untuk pengundi memilih antara blok-blok parti yang ada untuk dijadikan sebagai kerajaan.

Jika sebelum ini pengundi tidak mempunyai pilihan antara dua blok tetapi kini mereka mempunyai lebih banyak pilihan.

Tidak dinafikan dominasi persaingan dua blok parti berjaya membawa perubahan, tetapi ia dilihat telah memerangkap politik negara dalam isu yang hanya menumpukan kepada soal kekuasaan.

Bagi memastikan mereka menjadi pilihan pengundi, parti politik harus memberikan tawaran lebih baik dan meyakinkan.

2. Tuntutan daripada rakyat 

Rakyat mempunyai banyak hasrat dan tuntutan yang mahu didengari khususnya golongan wanita yang mempunyai peranan yang besar bukan saja bermula dari rumah malah kini berupaya memegang jawatan penting dalam sesebuah organisasi

“Antara perkara yang saya mahu perjuangkan jika diangkat sebagai ketua adalah masalah utama wanita seperti isu jaga anak, menjaga ibu bapa yang uzur, kos pusat asuhan yang terlalu tinggi dan banyak lagi.

“Perkara ini hanya akan dapat diselesaikan jika kita bekerja sebagai satu kumpulan yang kuat. Sudah banyak perkara yang saya perjuangkan semasa bergelar menteri dan saya percaya ia boleh dilaksanakan sekali lagi,” katanya.

3. ‘Upgrade’ jentera

Menurut Shahrizat, beliau percaya dengan kemampuan Wanita UMNO yang berpengalaman dan juga barisan pelapis yang tidak kurang hebatnya dalam melontarkan pandangan yang bernas bagi menaikkan parti secara keseluruhannya.

Namun, Wanita UMNO tidak boleh terlalu selesa dengan apa yang diperoleh sekarang kerana terdapat banyak lagi ruang dan peluang yang boleh diteroka untuk menaikkan tahap sayap itu menjadi lebih cemerlang.

“Kita perlukan pimpinan pelapis untuk memastikan mereka berada di landasan yang sepatutnya. Jadi, saya mahu wujudkan satu peta untuk sayap ikuti sebagai panduan apabila melibatkan perjuangan parti.

“Peranan sebagai ketua itu harus kuat apabila berada dalam sesebuah parti politik. Jika ketua itu tidak kuat, sudah pasti jentera juga lemah. Ini antara perkara yang saya ingin ketengahkan jika dipilih menerajui Wanita UMNO,” katanya. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button