Politik

MIC tak bertanding PRN demi melindungi kepentingan parti

KUALA LUMPUR 5 Julai – Selepas MCA, kini MIC turut mengumumkan tidak akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri bulan depan.

Setiausaha Agung MIC RT. Rajasekaran berkata, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang berlangsung pada 30 Jun lepas setelah meneliti keadaan politik semasa dan mendengar pandangan setiap ahli CWC.

“Keputusan parti MIC untuk tidak bertanding pada PRN yang akan datang dibuat semata-mata untuk melindungi kepentingan parti MIC.

“Pada masa ini, MIC akan memberi lebih perhatian kepada proses untuk membina struktur parti yang lebih mantap bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bagaimanapun, parti kaum India itu berjanji  akan melaksanakan peranannya sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN) dan keputusan parti telah pun dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi Kerajaan Perpaduan.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan  dijalankan secara serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button