Politik

Kerajaan berada dalam keadaan ‘ketakutan’ – Sanusi

Muhammad Sanusi turut menyifatkan pendakwaan itu dilakukan bagi menjejaskan peluangnya dalam PRN.

KUALA LUMPUR 18 Julai – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa pendakwaan ke atas dirinya merupakan satu petanda bahawa kerajaan sedang dalam ‘ketakutan’ menghadapi gelombang rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos depan.

Bercakap kepada pemberita selepas proses pendakwaan selesai, Muhammad Sanusi turut menyifatkan pendakwaan itu dilakukan bagi menjejaskan peluangnya dalam PRN.

Beliau turut meluahkan keyakinan bahawa rakyat memahami tujuan sebenar pendakwaan itu.

Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu turut mendakwa proses pendakwaan ke atas dirinya telah disegerakan dengan selama tiga hari siasatan sahaja.

“Nampaknya di Malaysia ini tidak boleh cakap apa tuan-tuan. Kalau di medan politik, biasanya orang selesaikan di medan politik. Berikan hujah balas kepada ucapan atau hujahan kita tetapi di Malaysia pada hari ini kerana kita ada kerajaan yang takut, dia guna polis untuk tahan atau sekat ucapan-ucapan kita.

“Ahli-ahli politik telah bankrap menggunakan pihak berkuasa untuk sekat kemaraan rakyat. Ini satu petanda bahawa mereka sedang dalam ketakutan. Segala apparatus negara dan agensi awam akan digunakan untuk menyekat perkembangan serta kehangatan rakyat,” katanya kepada pemberita.

Beliau turut meluahkan keyakinan bahawa PN mampu memenangi kesemua enam negeri di PRN akan datang ekoran pendakwaan dikenakan ke atas dirinya.

Mengulas mengenai penahanannya awal pagi tadi, Muhammad Sanusi memaklumkan ditahan tanpa sebarang notis daripada pihak berkuasa.

Malah, beliau mendakwa hanya mengetahui berita akan didakwa di mahkamah melalui laporan media.

“Saya dah maklumkan kepada beberapa pihak bahawa saya akan hadir ke mahkamah pagi ini tapi mereka tetap nak buat tangkapan di sebuah apartment di Kuala Lumpur.

“Saya beri kerjasama sepenuhnya daripada awal proses ini berjalan. Waktu tangkapan itu pun ada siasatan kes lain berkaitan satu ucapan saya di tempat lain,” ujarnya. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button