PH gabungan parti politik paling ramai ‘katak’ – Abdul Hadi

KUALA LUMPUR 14 April – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan Pakatan Harapan (PH) sebagai gabungan parti yang memilik ‘katak’ yang paling ramai.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, hal itu dapat dilihat apabila ramai pemimpin dari parti politik berlainan dikumpul oleh PH untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.
Beliau juga berpandangan yang semua ahli politik yang berada dalam PH adalah seperti dikumpulkan di bawah tempurung kelapa.
“Kita mengharapkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Malaysia tidak menjadi bodoh dalam langkah dan tindakannya.
“Hal ini demikian kerana, gabungan politik itu mempunyai paling banyak katak yang dikumpul bersamanya bagi mencukupkan penubuhan kerajaan dan diletakkan pula di bawah tempurung,” katanya dalam perkongsian di media sosial beliau hari ini.
Abdul Hadi berkata, kerajaan ketika ini perlu melihat situasi yang berlaku kepada Amerika Syarikat (AS) dan mengambil iktibar daripada kesilapan yang dilakukan negara tersebut.
Katanya, antara perkara yang perlu dilihat daripada kesilapan AS adalah kelemahan dan kegagalan negara itu yang asyik menjaga kepentingan diri semata-mata.
Menurut Abdul Hadi, sikap AS itu telah membuatkan negara tersebut menghadapi krisis dalaman yang merosakkan politik demokrasi mereka.
“Maka, dicetuskan provokasi peperangan antara Ukraine dan Rusia dan ketegangan dalam is yang melibatkan Taiwan dan China dengan mempergunakan negara Eropah dan Asia untuk menjadi khadamnya yang menunjukkan tanda kekalahan mereka.
“Hal ini demikian kerana, beberapa negara Eropah dan Asia telah menunjukkan sifat tidak proaktif dan ada pula yang seperti menarik diri, kecuali beberapa negara kecil yang boleh ditarik menjadi anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan pakatan yang lain,” katanya. — Xklusif