Berita

PM lancar Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat esok

Perkara itu akan menjadi panduan hala tuju ekonomi negara.

KUALA LUMPUR 26 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melancarkan ‘Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’ sebagai panduan hala tuju ekonomi negara, esok.

Perkara itu dikongsikan Perdana Menteri dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Majlis pelancaran itu akan berlangsung di Suruhanjaya Sekuriti (SC) pada pukul 9 pagi.

Menurut Perdana Menteri, Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat merupakan pengemudian dan pengarahan baharu ekonomi untuk menjamin masa depan negara.

“Esok saya akan meluncurkan ‘Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’ yang merupakan pengemudian dan pengarahan baharu ekonomi untuk menjamin masa depan negara.

“Nantikan, Insya-Allah,” katanya dalam hantaran tersebut.

Sebelum ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Naratif Ekonomi Madani akan melaksanakan kerangka besar, umum dan disusuli beberapa tiang nadi ekonomi yang akan dijelaskan secara berperingkat.

Secara umumnya, Perdana Menteri memaklumkan, dasar yang bakal diumumkan nanti berteraskan kepada dua sasaran iaitu menjadikan Malaysia Peneraju Ekonomi Asia dan memastikan Kehidupan Rakyat yang Berkualiti.

Sasaran pertama akan tertumpu antara lain untuk memastikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan bertaraf global; membina ekonomi berteraskan inovasi dan pengetahuan; sebagai peneraju ekonomi Islam dan jaguh PMKS serantau.

Sasaran kedua pula mengutamakan kesejahteraan rakyat terutamanya melalui pekerjaan berpendapatan tinggi; peluang yang saksama; penyampaian perkhidmatan awam terbaik; dan perlindungan sosial menyeluruh. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button