Selepas PRK Kuala Terengganu, nama Annuar Musa tiada di PRN Kelantan

KUALA LUMPUR 28 Julai – Ura-ura yang mengatakan Tan Sri Annuar Musa akan bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Kelantan atas tiket Perikatan Nasional (PN) nampaknya tidak benar.
Hal itu selepas nama Annuar tidak langsung disebut semasa pengumuman calon PN oleh Pengerusi PN Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Turut tidak tersenarai ialah Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang dikatakan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka.
PN Kelantan dalam PRN kali ini mempertaruhkan 23 calon baharu manakala 22 lagi calon akan mempertahankan kerusi masing-masing.
Antara yang menjadi tumpuan adalah Presiden dan TImbalan Presiden Kelantan United Football Club (KUFC).
Presiden KUFC, Rozi Muhamad akan bertanding mempertahankan kerusi DUN Tendong.
Manakala, Timbalan Presiden KUFC, Datuk Zamri Ismail dipertaruhkan PN untuk bertanding di kerusi DUN Kota Lama.
Daripada keseluruhan 45 kerusi DUN di Kelantan, kepimpinan tertinggi PN meletakkan 39 calon Pas manakala enam lagi adalah calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). — Xklusif