Tujuh lelaki termasuk 6 beradik rogol budak 11 tahun bergilir-gilir di Gerik
Hasil siasatan awal mendapati kejadian itu disaksikan oleh adik mangsa berusia 9 tahun

GERIK 22 Nov – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dipercayai dirogol secara bergilir-gilir oleh tujuh lelaki yang juga rakan abangnya di sebuah kampung, di sini pada 3 November lalu.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian itu disaksikan oleh adik mangsa berusia sembilan tahun.
“Siasatan lanjut mendapati pada 3 November lalu, sekitar jam 2 petang, saksi telah melihat tujuh orang rakan abangnya yang berusia lingkungan 13 hingga 31 tahun merogol kakaknya di dalam bilik rumah jiran sebelah.
“Enam daripada suspek merupakan adik beradik dan seorang lagi rakan mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Selain itu katanya, saksi juga memaklumkan kejadian seumpama itu sudah beberapa kali berlaku terhadap kakaknya yang tidak bersekolah.
Justeru katanya, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik telah menahan semua suspek awal pagi semalam.
Zulkifli berkata, hasil ujian saringan air kencing ke atas semua suspek adalah negatif dan kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan.