Berita

AGC masih pertimbang representasi MB Kedah, kes ditangguh 25 Oktober

Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan kes melibatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa menghasut isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin berkata demikian susulan permohonan daripada Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd Daud yang memaklumkan representasi masih dalam pertimbangan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Pihak pembelaan juga meminta kes ditangguhkan selama sebulan untuk kedua-dua pertuduhan yang dihadapi Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri

Mahkamah kemudian menetapkan 25 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan Sanusi diwajibkan menghadiri prosiding pada hari tersebut.

Peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili Sanusi memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya sudah menulis warkah untuk memohon ampun daripada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Saya menerima arahan untuk mohon pertuduhan ditarik balik dan pihak kami (pembelaan) tidak bantah penangguh kes ini untuk sebulan.

“Sudah diketahui umum, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sudah beri keampunan atau kemaafan kepada anak guam kami,” katanya ketika prosiding tersebut.

Sementara itu, peguam pemerhati bagi Istana Selangor Datuk Salehuddin Saidin mengesahkan pihak istana ada mengeluarkan jawapan bertulis penerimaan permohonan maaf dalam kes ini iaitu (Muhammad) Sanusi.

Pada Khamis, Sultan Selangor menitahkan baginda berkenan menerima permohonan ampun dan maaf Sanusi sambil menasihatkan beliau agar sentiasa menjaga tutur kata dan tatasusila.

Dalam surat titah dimuat naik di laman Facebook (FB) Selangor Royal Office, baginda antara lain menegaskan, permohonan maaf Sanusi diterima atas nama ukhwah sesama Islam serta bangsa Melayu.

Titah Sultan Sharafuddin disertakan dengan nasihat agar Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah itu jangan terlalu beremosi dan menggunakan perkataan tidak baik ketika memberi syarahan kepada rakyat, terutama sekali apabila berada di Selangor.

Ia selepas Sanusi mengemukakan warkah kedua, menyusuli permohonan maaf dibuat beliau pada 14 Julai tahun lalu berkait ceramahnya yang menyentuh pihak istana dan proses pelantikan Menteri Besar Selangor.

Ini merupakan representasi kedua Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas itu selepas permohonan pertamanya ditolak AGC, Mei lalu.

Pada 18 Julai 2023, Sanusi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan berkenaan dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 Februari lepas untuk dibicarakan.

Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) didakwa atas dua pertuduhan menyebut perkataan menghasut menyentuh Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Agong, di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada jam 11 malam, 11 Julai tahun lalu.

Kedua-dua kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman. – AWANI

Artikel Berkaitan

Back to top button